Penafian Isnin, 21 05 2012 bersamaan | Soalan Lazim | Pautan | Bantuan | Peta Laman

Biodiagnosis dan Biokeselamatan (BT03)

3.Biodiagnosis Dan Biokeselamatan
Penyelidikan dalam bidang biodiagnostik dan biokeselamatan bertujuan bagi memenuhi keperluan pembangunan dan penghasilan alat diagnostik tempatan untuk diaplikasikan dalam sektor pertanian dan makanan. Pembangunan teknologi diagnostik dan biosensor memainkan peranan penting dalam proses pemantauan bahan tercemar dalam makanan dan hasil pertanian seperti penggunaan antibiotik secara berlebihan bagi haiwan ternakan, mengesan sisa racun perosak organofosfat di dalam sayur-sayuran dan pengesanan awal penyakit Ganoderma boninense pada pokok kelapa sawit. Gabungan kedua-dua teknologi ini membolehkan proses pemantauan dijalankan dengan lebih cepat, tepat, murah dan tidak merbahaya kepada persekitaran. Penyelidikan tertumpu kepada tiga teras utama iaitu biodiagnostik, biosensor dan nanoteknologi.
 

Biodiagnostik menekankan kepada pembangunan produk-produk biodiagnostik tempatan.  Pembangunan produk-produk biodiagnostik ini berasaskan antibodi poliklonal, asid deoksiribonukleik (DNA) dan enzim. Bagi pembangunan produk diagnostik berasaskan antibodi poliklonal, proses pengimunan bagi penghasilan antibodi poliklonal perlu dilakukan di rumah haiwan dan keberkesanan antibodi yang terhasil boleh diuji menggunakan kaedah asai immunoserapan berangkai-enzim (ELISA) . Bagi produk-produk biodiagnostik yang melibatkan DNA dan enzim, keberkesanan produk biodiagnostik yang terhasil boleh diuji menggunakan kaedah tindakbalas berantai polimerase (PCR) dan pengasaian enzim. Pembangunan produk-produk ini bukan sahaja boleh mengurangkan kos import malah ianya setanding dengan produk sediada di pasaran antarabangsa.

Biosensor memainkan peranan yang penting khususnya dalam bidang kawalan kualiti dan keselamatan makanan serta hasil pertanian. Teknologi biosensor merupakan gabungan antara reseptor biomolekul contohnya antibodi, enzim, mikrob dan jaringan sel dengan mikroelektronik.Perubahan sifat fizikal-kimia pada reseptor biomolekul tersebut akan mengekspreskan maklumat yang akan diterjemahkan menjadi isyarat elektronik. Kelebihan penggunaan teknologi biosensor bukan sahaja pada penjimatan masa dan kos yang jauh lebih murah, tetapi ianya juga adalah mudah alih di mana penggunaan teknologi ini tidak terhad hanya di dalam makmal sahaja, malah turut boleh digunakan di kawasan kajian lapangan.

Nanoteknologi merupakan satu bidang penyelidikan baru. Ia didefinikan sebagai satu bidang kajian dan penghasilan alat atau perkakas bersaiz nanometer iaitu satu perbililion meter. Bidang penyelidikan ini tidak hanya terhad kepada bioteknologi sahaja, tetapi ia juga boleh diperluas dan diaplikasi kepada beberapa cabang penyelidikan lain termasuk “nanomaterial” dan “nano-chips” yang boleh diaplikasikan dalam proses pemantauan dan kawalan makanan dan hasilan pertanian.

Antara penyelidikan yang sedang dijalankan bertujuan bagi:

  • Mengesan sisa racun perosak organofosfat di dalam sayur-sayuran menggunakan teknologi sol-gel.
  • Mengesan sisa antibiotik dalam produk daging ayam segar.
  • Mengesan makanan terubahsuai secara genetik (GM) dalam produk kacang soya.
  • Mengesan serangan awal kulat Ganoderma boninense pada pokok kelapa sawit.
  • Mengesan bahan pencemar pertanian menggunakan alat biosensor gentian optik.
 

<<kembali