| 2. Biopemprosesan Penyelidikan dalam bidang Biopemprosesan memfokuskan kepada penggunaan sumber biologi seperti mikroorganisma, enzim, sel tumbuhan dan haiwan bagi menukarkan bahan mentah atau substrat kepada pelbagai jenis produk makanan serta produk bukan makanan baru yang ditambah nilai. Objektif penyelidikan dalam bidang biopemprosesan ialah untuk menghasilkan teknologi dan produk baru yang mudah, mampu diperolehi serta tahan lama. Penyelidikan biopemprosesan tertumpu kepada tiga teras utama iaitu teknologi fermentasi dan mikrob, teknologi enzim, serta teknologi kultur sel dan metabolit tumbuhan. Teknologi fermentasi dan mikrob melibatkan penggunaan sumber organik oleh mikroorganisma bagi penghasilan sel mikrob, enzim dan metabolit. Teknologi fermentasi juga telah digunakan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti produk makanan melalui proses pengawetan (penapaian) makanan, penghasilan produk baru berasaskan biologi (bahan bio-ramuan) serta bahan perisa makanan. Kajian teknologi fermentasi dan mikrob kini telah beralih kepada “pembangunan makanan berfungsi” (functional food) dan makanan yang berasaskan kesihatan (health oriented food) atau nutraseutikal. Antara kajian yang dijalankan: - Penghasilan komponen anti-oksidan daripada buah-buahan peraman.
- Membangunkan enzim penghadaman baru daripada sumber mikrob yang diperolehi daripada makanan peraman tradisional.
- Membangunkan enzim penghadaman daripada buah-buahan dan tumbuhan tempatan.
- Penghasilan komponen anti-kolesterol daripada pemeraman beras merah.
- Membangunkan cendawan tempatan yang berpotensi bagi penghasilan b-glucan.
- Membangunkan hidrolisat kanji sebagai substrat bagi penghasilan bakteria asid laktik sebagai makanan tambahan.
- Membangunkan penghasilan etanol daripada nira nipah.
Teknologi enzim melibatkan penggunaan enzim bagi menukarkan substrat kepada produk baru dan mempunyai nilai tambah, memperbaiki citarasa dan ciri fizikal sesuatu produk supaya ia boleh digunakan dalam proses atau industri seperti industri makanan, kosmetik dan farmaseutikal. Teknologi enzim telah diaplikasikan bagi menjalankan projek-projek berikut : - Pengubahsuaian minyak kelapa bagi meningkatkan kandungan monolaurin.
- Bioprospek, penambahbaikan dan penghasilan enzim lipase baru bagi pengubahsuaian minyak.
- Penambahbaikan minyak kelapa dara dengan ciri antimikrob.
- Penghasilan enzim transglutaminase halal dari Physarum polycephalum menerusi teknologi rekombinan.
Teknologi kultur sel dan metabolit tumbuhan digunakan bagi menghasilkan produk bernilai daripada sumber tumbuhan di dalam makmal berbanding di ladang melalui sistem kultur sel dan bioreaktor. Kaedah ini dapat menjimatkan masa serta mengatasi segala masalah yang timbul di ladang. Antara projek penyelidikan yang melibatkan teknologi kultur sel dan metabolit tumbuhan; - Pembangunan teknologi bioreaktor tumbuhan untuk penghasilan sebatian wangian daripada Cempaka Putih (Michelia alba)
- Penghasilan produk kaya antioksidan daripada buah-buahan tempatan
|